Sejarah Ringkas Pejabat Pendidikan Daerah Pontian

Pejabat Pendidikan Daerah Pontian terletak di  JKR 1927P, Jalan Alsagoff, 82000 Pontian, Johor  merupakan sebuah institusi kerajaan yang telah beroperasi semenjak tahun 1960an. Pejabat ini mempunyai seramai 52 orang pegawai. Pada sekitar tahun 1950 hingga 1960an bangunan Pejabat Pelajaran Daerah Pontian di Jalan UMNO merupakan quarters kediaman untuk guru pelawat. Pada masa itu, jawatan Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) dikenali dengan gelaran Guru Pasukan atau Guru Pelawat. Pada tahun 1967 hingga Oktober 1969, Pejabat Pelajaran Daerah Pontian berada di Bangunan Pejabat Kerajaan yang lama.

Dalam bulan Oktober 1969, Pejabat-pejabat Kerajaan Daerah telah berpindah ke bangunan baru, iaitu Bangunan Sultan Ismail sekarang. Ruang Pejabat Pelajaran Daerah Pontian ialah di tingkat 3 (sekarang ini Pejabat Perpaduan).

Pada tahun 1971, operasi pejabat ini dipindahkan ke bangunan UMNO.

Pejabat Pelajaran Daerah Pontian telah mendapat peruntukan sebanyak RM 600,000.00 untuk membina sebuah pejabat yang baru. Pembinaan dimulakan pada bulan Mac 1997, dan telah disiapkan pada bulan Mac 1998 dan diserahkan pada bulan Jun 1998. Pejabat Pelajaran Daerah Pontian dengan 28 orang kakitangannya telah berpindah secara rasminya pada Hari Rabu, 24 Jun 1998,bersamaan 29 Safar 1419 Hijrah.